PGA Briged Utara bantu mangsa ribut bersihkan rumah rosak
IPOH - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara mula menggerakkan anggota dan pegawainya bagi membantu kerja-kerja pembersihan ratusan rumah mangsa yang rosak akibat angin ribut dan puting beliung yang melanda beberapa kawasan di sini pada Ahad lepas.
Operasi bermula sejak awal pagi hingga lewat petang untuk selama seminggu itu melibatkan 18 anggota dan dua pegawai dari Batalion 3 PGA Bidor.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Deputi Superintendan Mazian Jenal berkata, bantuan yang digerakkan atas arahan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu mencerminkan keprihatinan pasukan Polis Diraja Malaysia bertujuan meringankan beban mangsa untuk membersihkan kesan runtuhan rumah.
"Kami ingin mangsa tahu bahawa mereka tidak bersendirian kerana kami akan sentiasa bantu meringankan beban mereka, lebih-lebih lagi apabila kejadian sebegini berlaku pada waktu perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.
Mazian berkata, pembahagian tugas dipecahkan kepada dua pasukan bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan rumah dilakukan dan bilangan anggota dan pegawai terlibat akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Ahad lepas, ratusan rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya rosak dalam kejadian ribut dan puting beliung yang berlaku pada kira-kira jam 6 petang itu.Selain kerosakan rumah penduduk dan tiang elektrik, kejadian turut menyebabkan beberapa pokok tumbang namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Desa Sri Chepor, Azmi Mohd Rashid, 56, berkata, kejadian itu merupakan yang paling buruk pernah dialaminya berbanding beberapa kali kawasan perumahannya dibadai angin ribut sebelum ini.
"Kawasan sini sudah banyak kali kena ribut tapi tidak seteruk kali ini, semuanya musnah dalam masa lima minit.
"Beberapa minit sebelum kejadian, cuaca sangat baik, tiba-tiba saya ternampak seperti ada rumah terbakar kerana asap berkepul-kepul dan terdengar jiran melaungkan azan. Dalam sekelip mata, pusaran angin ribut datang ke rumah kami dengan gegaran yang terlampau kuat,” katanya menceritakan detik cemas ketika kejadian ribut itu.
Azmi yang kini berteduh di sebuah rumah inap berkata, 10 ahli keluarga yang tinggal di rumah berkenaan agak terkejut dengan bencana tersebut, manakala seorang cucunya mengalami sakit mata akibat terkena habuk pasir.
"Jika mengenangkan nasib rumah, saya amat sedih kerana baru-baru ini atap rumah baru siap untuk sambut Aidilfitri,” katanya menambah mereka amat berterima kasih atas keprihatinan dan bantuan dari PGA berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!