'Parti politik amat mudah lupa janji, perlembagaan'
SHAH ALAM - Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jelebu, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan parti politik di negara ini mudah untuk melupakan janji yang ditabur pada pilihan raya.
Tanpa menyebut mana-mana parti, beliau berkata ia menyebabkan pengundi sudah muak dan tidak melihat lambang parti untuk mengundi sebaliknya hanya memilih berdasarkan calon yang diletakkan di sesuatu kawasan.
"Di musim pergolakan politik bersuhu tinggi kini kebanyakan pengundi sudah mula berpendirian jangan tanya parti mana nak dipilih.
"Sebaliknya tanya siapa yang harus dipilih. Sebab apa? Sebab sudah jelas parti politik amat mudah lupa janji pilihan raya dan perlembagaan mereka," katanya dalam satu ciapan di laman Twitter miliknya pada Rabu.
UMNO sebelum ini menyatakan hasrat untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang dilakukan di PRN Melaka.
Ia sekali gus menimbulkan konflik keretakan serius dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan sokongan dalam pembentukan kerajaan pusat.
DI MUSIM PERGOLAKAN POLITIK BERSUHU TINGGI KINI KEBANYAKAN PENGUNDI SUDAH MULA BERPENDIRIAN: JANGAN TANYA PARTI MANA NAK DIPILIH, TAPI TANYA SIAPA YANG HARUS DIPILIH? SEBAB APA? SEBAB SUDAH JELAS - PARTI2 POLITIK AMAT MUDAH MELUPAKAN JANJI2 PILIHANRAYA & perlembagaan MEREKA..
— RAISYATIM (@DrRaisYatim) February 2, 2022
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!