Lebih 4,000 saman bernilai RM1.28 juta dikeluarkan di Melaka
MELAKA - Polis mengeluarkan 4,279 saman berkaitan pelbagai kesalahan lalu lintas bernilai RM1.28 juta di Melaka dalam tempoh lima hari pelaksanaan Op Selamat 17 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022 sejak 28 Januari lepas lepas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, jumlah saman yang dikeluarkan pada Op Selamat 17 selama lima hari pada tahun ini meningkat kepada 4,279 saman berbanding 3,913 saman dalam tempoh yang sama pada Op Selamat 16, tahun lepas.
"Kebanyakan saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat dan memotong barisan dan 56 kemalangan yang berlaku akibat melanggar lampu isyarat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tol Ayer Keroh di sini pada Rabu.
Beliau berkata, 27 operasi dilaksanakan di sekitar negeri dalam tempoh itu termasuk Op Motosikal, Op Mabuk, Op Samseng Jalanan serta Op Perdagangan, dan 261 kemalangan direkodkan dengan satu kemalangan maut, cedera parah (27 kes) dan cedera ringan (12 kes) dalam tempoh berkenaan.
Katanya, dalam tempoh itu juga, 226,178 kenderaan direkodkan masuk ke Melaka manakala sebanyak 189,001 kenderaan pula keluar dari Melaka dan purata kenderaan masuk ke negeri itu dianggarkan kira-kira 40,000 sehari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!