Mangsa banjir belum terima BSB di Klang, Petaling masih ramai
SELAYANG - Klang dan Petaling mencatatkan bilangan paling tinggi mangsa banjir yang belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berbanding daerah-daerah lain.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, agihan akan dipercepat selepas bantuan mangsa banjir di daerah-daerah lain selesai.
"Hampir semua daerah selesai proses agihan bantuan kecuali dua daerah tersebut menyebabkan beberapa rungutan mengenai perkara itu diterima.
"Giliran bantuan di daerah tersebut belum sampai kerana kita ada kapasiti tertentu untuk pengeluaran dan pemberian menyebabkan proses tersebut sedikit lambat," katanya mengulas isu kelewatan bantuan BSB kepada mangsa banjir.
Beliau ditemui ketika program minum petang bersama aktivis komuniti Cina Parlimen Gombak sempena Tahun Baharu Cina di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, kelewatan turut disebabkan jumlah penerima dan pemohon bantuan yang tinggi.
Katanya, setakat ini lebih RM100 juta akan dibelanjakan untuk BSB melibatkan lebih 100,000 permohonan.
Dalam pada itu, dijangka gabungan badan bukan kerajaan (NGO) bersama penduduk terkesan banjir akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, pada Khamis.
Memorandum itu bagi memohon penjelasan mengenai bantuan BSB yang belum diterima mangsa banjir dan sebagai mendesak kerajaan negeri supaya menyegerakan pelaksanaan cadangan mengatasi banjir kilat di Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!