Rondaan berkuda di sempadan Kelantan mulai Mac ini
PASIR MAS - Rondaan berkuda di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dijangka akan bermula Mac ini dalam usaha membendung kegiatan jenayah rentas sempadan terutamanya penyeludupan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, sebagai langkah awal, Unit Berkuda dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan turun ke kawasan sempadan di negeri ini untuk membuat tinjauan terlebih dahulu sebelum memulakan operasi.
"Menerusi maklumat yang dikumpulkan, kita akan membuat ketetapan berapa jumlah kekuatan anggota diperlukan untuk penugasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tangan Bersalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, pada Rabu.
Pada majlis tersebut Hazani turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga angkat IPD Pasir Mas.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.
Menurutnya, bentuk muka bumi di negeri ini berbeza apabila ada rumah penduduk berada di gigi sungai, sekali gus menyukarkan anggota Unit Berkuda FRU membuat rondaan.
Beliau berkata, melalui rondaan itu pihaknya akan mengumpul maklumat berkaitan lokasi 'panas' yang sering menjadi tumpuan aktiviti penyeludupan.
Hazani berkata, ketika ini, sebanyak sembilan ekor kuda telah digunakan untuk mengawal sempadan Malaysia-Thailad di Kedah dan Perlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!