Kiev perkukuh tentera
KIEV - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada Selasa mengumumkan rancangan untuk mengukuhkan angkatan tentera mereka untuk tempoh tiga tahun akan datang susulan kebimbangan semakin meningkat jika Moscow melancarkan kempen pencerobohan ke atas Kiev,
Beliau bagaimanapun menjelaskan keputusan yang merupakan sebahagian daripada usaha memodenkan 250,000 anggota tentera Ukraine tidak bermakna ancaman nyata serangan terbaharu Rusia setelah ia menempatkan lebih 120,000 anggota tentera di sempadan.
"Dekri itu bukan kerana perang akan meletus tidak lama lagi. Tetapi, untuk kita mempunyai keamanan pada masa depan," ujarnya yang cuba meredakan rasa khuatir Barat yang telah mencetuskan panik kepada rakyat negara itu sejak beberapa minggu lalu.
Zelensky menandatangani dekri untuk penambahan 100,000 anggota tentera, menubuhkan 20 briged baharu dan menambah baik bayaran gaji serta keadaan anggota tentera mereka.
Pemimpin tersebut mengarahkan pemerintah untuk menggubal undang-undang bagi menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajib untuk anggota muda menjelang 2024 berikutan Kiev sedang berusaha untuk profesionalkan angkatan tenteranya.
Difahamkan, Angkatan Tentera Ukraine telah melakukan penambahbaikan secara besar-besaran sejak Moscow menduduki Semenanjung Crimea yang menjadi titik tolak kepada konflik yang meragut lebih 13,000 nyawa dan berterusan sehingga kini.
Zelensky turut memaklumkan sokongan ketenteraan dan diplomatik kepada negara itu telah mencapai tahap tertinggi sejak wilayah Crimea dirampas Rusia pada 2014.
"Ia adalah sokongan secara berterusan dan tanpa syarat terbesar sejak lapan tahun lalu," ujarnya ketika berucap di Parlimen.
Perdana Menteri, Denys Shmygal turut senada dengan presiden berkenaan apabila beliau mengesahkan Ukraine kini mempunyai tentera lebih kuat berbanding sebelum ini atas sokongan Barat.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Oleksiy Reznikov memberitahu pesawat keenam dari Amerika Syarikat (AS) yang membawa bekalan peluru tiba di negara itu selain penghantaran dron bersenjata dari Turki.
Pencabulan gencatan senjata masih berterusan
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pemisah pro-Rusia dan pasukan keselamatan Ukraine didakwa berterusan mencabuli gencatan senjata walaupun kedua-dua belah bersetuju untuk mengekalkan tempoh bertenang tersebut.
Wakil Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) di Kiev, Mikko Kinnunen mengesahkan tiada tanda-tanda menunjukkan persediaan untuk pelancaran kempen ketenteraan berskala besar di kawasan sempadan.
Menurutnya, serangan di sempadan meningkat secara dramatik apabila ketegangan semakin meningkat pada November dan Disember lalu, namun ia menunjukkan penurunan kepada 70 peratus sehingga akhir Januari.
“Kini, serangan kembali meningkat,” ujarnya sambil menambah hasil pemantauan terhadap situasi keselamatan pada Khamis lalu merekodkan 403 pencabulan gencatan senjata yang merupakan pertempuran paling sengit setakat ini.
Sejak 2015, lebih 100,000 insiden pelanggaran gencatan senjata dilaporkan setelah konflik tercetus antara pasukan keselamatan Ukraine dan kumpulan pemisah, Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan Republik Rakyat Luhansk (LPR) yang menguasai wilayah timur Kiev pada 2014.
Difahamkan, lebih 20 perjanjian gencatan senjata kekal telah dimeterai untuk meredakan krisis tersebut termasuk yang paling baharu ditandatangani pada Julai 2020. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!