Hentikan pelaksanaan JKMPay: Ras Adiba
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa menghentikan pelaksanaan program rintis pembayaran bantuan kebajikan tanpa tunai, JKMPay.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi berkata, pelaksanaan JKMPay yang merupakan inisiatif ke arah pendigitalan dalam menyampaikan bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) itu tidak langsung mendapatkan sebarang pandangan terlebih dahulu daripada komuniti itu sendiri.
Dalam kenyataannya pada Rabu, beliau memohon pembayaran EPOKU (EPC) sebanyak RM450 secara tunai dikembalikan bermula bulan ini, memandangkan ia telah menyebabkan ramai OKU mengalami kesulitan dalam pelbagai perkara.
"Saya mohon pertimbangan sekali lagi, agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Kebangsaan OKU dengan kadar segera. Pada waktu yang sama, JKM diharap dapat mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan atau persatuan berkaitan komuniti OKU, bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berkenaan pelaksanaan JKMPay.
"Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa ‘nothing about us, without us’, jika ingin melakukan sesuatu perkara yang baik dan bernas buat OKU. Sila bertanya dan berbincang terlebih dahulu dengan kami mengenai keperluan kami. Ini adalah kerana, hanya OKU faham akan keperluan OKU," katanya.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata, projek rintis JKMPay yang telah dilaksanakan hampir setahun masih lagi di peringkat kajian sebelum dilaksanakan secara meluas di seluruh negara.
Sementara itu, Ras Adiba berkata, sejak kebelakangan ini, banyak isu atau permasalahan berkenaan OKU tercetus dan sudah tiba masanya KPWKM merealisasikan penaiktarafan Jabatan Pembangunan OKU sebagai sebuah jabatan penuh dan pengarahnya mestilah daripada kalangan OKU.
"Ini adalah bagi memastikan pembangunan dan pemerkasaan OKU dapat dilakukan dengan baik, saksama dan adil," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!