KKMM teliti kaedah pelaporan audit ukur tahap kualiti internet
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, perincian mengenainya sedang dibincangkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan kaedah terbaik.
"Kita juga telah arahkan MCMC peringkat negeri supaya sentiasa membuat audit kawasan mana yang selalu mengalami 'blind spot' (titik buta), bekalan tidak stabil selain perlu membuat satu kajian bersama dengan Telco yang terlibat.
"Sekarang ini kita dah perkasa tiap-tiap negeri dan MCMC mewujudkan pejabat negeri untuk melihat permasalahan yang masih berlaku di kawasan terbabit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ketereh dan melancarkan Mesin Automatik Mudah Alih (ATM) Beras di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini pada Rabu.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kaedah berkenaan perlu dilakukan untuk memperbaiki kelemahan sedia ada dan tidak bergantung dengan laporan daripada syarikat telco semata-mata.
"Apabila saya turun di mana-mana kawasan, saya akan membuat semakan secara rawak internet di kawasan tersebut dan akan bandingkan dengan laporan yang diterima.
"Kadangkala laporan yang diterima tidak sama dengan keadaan internet di kawasan tersebut. Saya harap syarikat telco yang terlibat perlu mempunyai sikap bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, mengenai program transformasi digital Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), Annuar berkata, baki hampir 200 PEDi dijangka diwujudkan sepenuhnya selewat-lewatnya dua tahun lagi.
"Sebahagian besar (PEDi) kita sasarkan mahu siapkan tahun ini tetapi nak bina sesuatu PEDi ini bergantung kepada banyak perkara seperti untuk mendapatkan Telco, sewa premis dan rekrut staf untuk setiap PEDi selain mempunyai pengisian program secara tersusun.
"Proses ini tidak boleh buat dalam tempoh satu atau dua minggu," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!