Dulu Arsenal, kini Barcelona...
PENYERANG Gabon Pierre-Emerick Aubameyang menyertai Barcelona secara percuma selepas menamatkan kontrak dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, kata kelab LaLiga itu pada Rabu.
Barcelona berkata, Aubameyang bersetuju dengan pilihan untuk dilepaskan pada 30 Jun 2023 dan akan menandatangani kontrak sehingga Jun 2025.Kelab Catalan itu telah menetapkan klausa pelepasannya pada €100 juta (AS$113.08 juta).
“Tidak lama lagi kelab akan memberikan butiran mengenai Pierre-Emerick Aubameyang sebagai pemain pasukan utama,” kata laman web Barcelona.
Aubameyang menyertai Arsenal dari kelab Bundesliga, Borussia Dortmund pada 2018 dengan bayaran kira-kira £58 juta (AS$79 juta) merupakan pembelian terakhir bekas pengurus The Gunners, Arsene Wenger.
Kehadiran Aubameyang segera menjadi fenomena dalam kalangan penyokong kelab London tersebut apabila menjaringkan 92 gol dalam 163 perlawanan.
Detik kemuncak kejayaan Aubameyang di London adalah ketika mengetuai Arsenal ke Piala FA edisi ke-14 pada 2020, dengan menjaringkan dua gol semasa menewaskan Chelsea 2-1 dan juga ketika menentang Manchester City pada separuh akhir.
Untuk rekod, penyerang berusia 32 tahun itu dilantik kapten The Gunners musim lalu selepas menandatangani lanjutan kontrak pada 2020, namun kariernya di London bergolak apabila berdepan masalah disiplin menyaksikan dia melangkah keluar dari bumi Inggeris hasil persetujuan bersama pengurusan kelab semasa kontraknya berbaki 18 bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!