Warganet ‘galak' komen isu dos penggalak
APABILA Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan Twitter berkata, Malaysia kini lebih bersedia untuk menangani lonjakan kes angkara Omicron, ternyata warganet tidak boleh duduk diam.
Ketersediaan negara yang dikaitkan dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang berjalan lancar ketika ini mengundang pelbagai reaksi berbeza.
Khairy berkata, lebih sebulan lalu kementeriannya sudah menjangkakan varian Omicron akan menjadi dominan seperti di kebanyakan negara lain, seterusnya menyebabkan lonjakan kes Covid-19.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan program suntikan dos penggalak di negara ini.
Kenyataan itu mengundang reaksi negatif pengguna alam maya yang berpandangan dos penggalak bukan penyelesaian kepada lonjakan kes Covid-19 di Malaysia.
“Janganlah paksa, kalau jadi apa-apa kamu nak bertanggungjawab ke?” Itu antara ribuan komen di Facebook pada salah satu laporan berkaitan kenyataan Khairy.
Laman web covid-19.moh.gov.my dalam kemas kini terkini memaklumkan, imuniti yang terbentuk selepas lengkap vaksinasi menurun selepas tempoh tertentu. Pemberian dos penggalak amat disyorkan bagi mengembalikan perlindungan terhadap Covid-19 ke tahap optimum.
Tempoh penerimaan dos penggalak berbeza berdasarkan jenis dos primer dan ia boleh dari jenis yang sama (homologus) atau dari jenis berbeza (heterologus) mengikut jenis disyorkan Jawatankuasa Kerja Teknikal dan Pekeliling KPK Bil 1/2022.
Jika dilihat sehingga Selasa lalu, seramai 12,022,117 individu dewasa atau 51.4 peratus daripada populasi kumpulan itu sudah menerima suntikan dos penggalak.
Berdasarkan data di laman web CovidNow pula, sejumlah 22,925,383 individu atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah melengkapkan vaksinasi mereka.
Kerajaan mungkin perlu mengambil kira sedikit pandangan orang ramai memandangkan peratusan yang belum mengambil vaksin penggalak dilihat masih jauh berbeza berbanding mereka yang belum melengkapkan pengambilan vaksinasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!