Afya perlu RM95,000 untuk bedah jantung
GEORGETOWN- Seorang bayi perempuan baru dilahirkan memerlukan dana perubatan bernilai RM95,000 untuk kos pembedahan bagi penyakit jantung yang dihadapinya.
Afya Husna Amerul disahkan mengalami masalah pada jantungnya selepas dilahirkan pada 14 Januari lalu di Hospital Alor Setar.
Menurut bapa bayi itu, Amerul Haqim Zainol, 29, anaknya dilahirkan lebih awal dari jangkaan selepas air ketuban ibunya pecah.
Katanya, selepas dilahirkan, Afya dimasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana disyaki tertelan 'mekonium' ketika air ketuban ibunya pecah.
"Ketika pemeriksaan, doktor telah mengesan kadar oksigen dalam darah Afya turun ke paras bahaya lalu dia dipindahkan dari Hospital Alor Setar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Hasil pemeriksaan pakar jantung HPP, jantung Afya didapati berlubang manakala saluran arteri terbalik. Pembedahan perlu dijalankan dalam tempoh seminggu untuk menyelamatkan nyawanya," katanya.
Dia yang merupakan juruteknik di Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkata, perkara itu belum dimaklumkan kepada isterinya kerana tidak mahu isterinya, Nur Azylla Ahmad, 29, bimbang.
"Saya buntu apabila diberitahu kos pembedahan itu mencecah RM95,000. Saya fikir seorang diri tanpa berkongsi dengan isteri kerana dia masih penat melahirkan Afya.
"Gaji saya sebagai juruteknik membaiki paip dengan gaji pokok RM1,540 dan isteri sebagai kerani dengan RM1,200 sebulan tidak cukup untuk mengumpul wang sebanyak itu. Saya masih ada seorang anak berusia 3 tahun, yang mana Afya adalah anak kedua," katanya.
Katanya lagi, Afya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Alor Setar dengan bantuan alat pernafasan.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya diberi kebenaran oleh ibu bapa Afya untuk mengumpul dana bagi membolehkan pembedahan dijalankan segera.
"Pembedahan perlu dijalankan di hospital pakar swasta kerana Afya tidak cukup masa lagi. Doktor mengesahkan dia perlu dibedah dalam tempoh minggu ini dengan kos RM95,000.
"Sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 0164192192, 0192322192 atau 045399212," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!