Peruntukan tambahan RM2 juta untuk Terengganu
KUALA TERENGGANU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi beberapa projek infrastruktur di Terengganu.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, peruntukan sebanyak RM500,000 diberikan bagi kerja-kerja pembinaan tembok dan kemudahan awam di Pulau Warisan.
"Lagi RM500,000 bagi tambahan lot di Pasar Besar Kedai Payang dan RM1 juta untuk membina Terminal Bas di bandar Jertih, Besut," katanya selepas Program Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Suri peringkat Terengganu di ibu pejabat JBPM Terengganu di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof.
Menurutnya, peruntukan itu diberikan hasil perjumpaannya bersama Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak serta wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini, semalam.
"Saya dimaklumkan tragedi di Pulau Warisan bulan lepas disebabkan ketiadaan pagar dan tembok. Melihatkan keperluan untuk membina tembok, saya bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000. Ia termasuk pembinaan tandas dan surau untuk kemudahan orang ramai.
"Peruntukan tambahan juga diberikan untuk Pasar Payang 2 yang akan menjadi penempatan sementara bagi peniaga Pasar Payang. Saya dimaklumkan lot kedai tak cukup untuk tempatkan 212 peniaga, jadi peruntukan tambahan ini untuk dibuat lot tambahan," katanya.
Zuraida berkata, kementerian juga akan menyalurkan RM1 juta bagi pembinaan terminal bas di bandar Jertih, Besut yang menjadi 'pintu masuk' pelancong yang ingin ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
"Pasar yang cantik sudah dibina tapi kekurangannya adalah stesen bas. Jadi peruntukan ini bagi membina stesen bas yang lebih lengkap dan selesa supaya dapat menampung bas dan teksi yang datang turunkan pelancong di situ," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan dua perumahan mampu milik 'Rumah Harapan' yang akan dibina di Besut dan Marang.
"Dua projek yang diluluskan sebelum ini adalah di tapak tanah persendirian, menyebabkan kosnya akan menjadi tinggi jika dilaksanakan. Kerajaan Pusat utamakan tanah diberikan kerajaan kerana kos pembinaan boleh dikurangkan dan harga rumah menjadi lebih rendah.
"Memandangkan kerajaan negeri telah mencadangkan dua tapak ganti di tanah kerajaan iaitu di Besut dan Marang, kita bersetuju untuk alihkan peruntukan ke sana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!