Kontroversi LCS tidak boleh dianggap selesai: Nik Nazmi
SHAH ALAM - Siasatan terhadap isu kontrak perolehan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) tidak boleh dianggap selesai hanya kerana penahanan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, ia berikutan masih belum ada sebarang dakwaan dilaksanakan setakat ini dalam kes tersebut.
Katanya, kerajaan ketika ini juga masih belum menggariskan secara terbuka dan komprehensif langkah yang akan diambil untuk memastikan LCS akhirnya disiapkan dan masalah sedemikian tidak kembali berulang.
“Pengajaran mesti diambil supaya negara ini tidak berdepan dengan belanjawan yang lebih besar untuk projek-projek yang bermasalah.
Adakah kerajaan sedia ada mempunyai iltizam politik untuk memastikan perkara ini?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Pada 25 Januari lalu, SPRM mengesahkan dua orang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang terlibat dalam projek tersebut ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.
Difahamkan, penahanan itu dibuat selepas SPRM berjaya menemui petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam buah kapal LCS yang dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal LCS tersebut susulan kegagalan pihak yang berkenaan untuk menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.
Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima TLDM pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pertahanan Dan Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, di sebalik penahanan itu juga, rakyat Malaysia seharusnya diberitahu mengenai gambaran menyeluruh kontroversi tersebut.
Katanya, hal tersebut boleh dilakukan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibenarkan untuk meneruskan serta menyelesaikan tugasnya dalam meneliti isu terbabit.
“Pakatan Harapan (PH) tidak gagal dalam menguruskan isu LCS kerana Jawatankuasa ini bekerja dengan baik dan bergerak dengan pantas sehinggalah berlaku pertukaran kerajaan, ia menghalang proses itu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!