Tindakan tegas buang sisa toksik
Pandang serius isu cemar alam sekitar
SUNGAI BESAR - Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pencemaran sisa toksik di Sungai Klang, berhampiran Taman Eng Ann, Klang, Khamis lalu.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi Dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, pencemaran sisa kimia bukan kali pertama berlaku di negeri ini.
"Perbuatan sama juga pernah berlaku di Kampung Sungai Lalang, Semenyih, yang dicemari sisa baja kimia mengandungi ‘ethyl ether’, pada 14 Februari lalu.
"Sesetengah pihak mengambil jalan mudah membuang sisa toksik sama ada di tepi jalan mahu pun di dalam sungai," katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Jelajah 360 Smart Selangor di Stadium Sungai Besar di sini, hari ini.
Loy Sian berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan sentiasa memantau keadaan itu.
"Kami mengambil langkah serius supaya bahan toksik ini tidak mencemari alam sekitar terutamanya kolam takungan air yang membekalkan air terawat kepada penduduk sekitar," katanya.
Loy Sian berkata, kerajaan negeri turut mendapat kerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) untuk menangani isu pembuangan sisa toksik.
"Selepas meneliti perkara ini, kita serahkan kepada pihak polis bagi tindakan penguatkuasaan undang-undang.
"Jika lambat mengambil tindakan, penduduk akan menerima akibatnya berikutan kesan tindakan balas bahan toksik berlaku cepat tanpa disedari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!