Kariah resah anjing liar berkeliaran dalam kawasan masjid

Sekumpulan anjing liar yang didapati berkeliaran di pekarangan Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah, Puchong hampir setiap hari. (Gambar kecil: Mohd Ali)
Sekumpulan anjing liar yang didapati berkeliaran di pekarangan Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah, Puchong hampir setiap hari. (Gambar kecil: Mohd Ali)
A
A
A

PETALING JAYA - Kariah Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah, Puchong di sini resah apabila sekumpulan anjing liar berkeliaran di pekarangan masjid berkenaan hampir setiap hari.

Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Mohd Ali Ross berkata, walaupun haiwan berkenaan tidak memasuki ruang di dalam masjid, namun terdapat kes selipar jemaah dijinjing anjing liar tersebut.

Menurutnya, masjid berusia 20 tahun itu tidak berpagar sepenuhnya kerana mempunyai kawasan yang luas antara faktor anjing liar berkenaan dapat masuk ke dalam kawasan masjid.

"Hampir setiap hari sekumpulan anjing liar antara tujuh hingga lapan ekor akan berkeliaran di sini, ada kemungkinan terdapat kawasan semak yang dijadikan tempat tinggal haiwan berkenaan.

"Aduan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah dibuat sebanyak dua kali antara Disember tahun lepas dan Januari lalu, namun sehingga kini belum ada tindakan diambil," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau menjelaskan, pihak masjid bercadang memagar keseluruhan kawasan masjid berkenaan bagi menangani masalah tersebut.

Namun katanya, langkah itu tidak menyelesaikan masalah tersebut secara menyeluruh kerana anjing-anjing berkenan akan bertukar tempat dan berkeliaran di kawasan kampung pula.

"Keadaan itu akan membahayakan anak-anak kecil yang berisiko diserang anjing liar. Jadi kami mohon anjing liar ini ditangkap untuk langkah keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Jika tiada tindakan di ambil, kami khuatir anjing ini terus membiak sehingga ke satu tahap menyebabkan keadaan tidak terkawal," katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas MBSJ berkenaan aduan tersebut.