Air pasang besar: Tiada banjir, limpahan air laut di Selangor
SHAH ALAM - Tiada laporan banjir atau limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar di Selangor setakat pagi Khamis.
Unit Pengurusan Bencana Selangor memaklumkan, fenomena air pasang besar yang melanda pesisir pantai Pelabuhan Klang pada Khamis adalah terkawal.
Menurutnya, paras air laut mencatat bacaan sederhana setinggi 4.9 meter setakat jam 7.33 pagi.
"Tiada limpahan besar air dikesan yang boleh mengakibatkan banjir serius. Setakat ini tiada apa-apa yang berlaku dan keadaan semua terkawal," katanya pada Khamis.
Pusat Hidrografi Nasional sebelum ini mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri pantai Barat Semenanjung Malaysia mulai 1 hingga 5 Februari.
Kawasan berisiko di Selangor adalah Pelabuhan Klang dan Sabak Bernam selain Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!