Insiden bot: Seorang mangsa masih dirawat HSNZ
KUALA TERENGGANU - Hanya seorang mangsa insiden pelanggaran bot pelancong dengan sebuah bot nelayan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, individu tersebut bagaimanapun menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik, boleh bernafas sendiri dengan bantuan mesin oksigen dan kini berada di wad biasa.
"Enam lagi pesakit telah dibenarkan pulang ke rumah setelah kita berpuas hati dengan tahap kesihatan mereka. Empat orang dibenarkan keluar dari wad HSNZ pada Rabu dan dua orang lagi pada Khamis.
"Kesemua mereka akan menjalani pemeriksaan susulan di klinik kesihatan berdekatan sekiranya perlu untuk memastikan kesihatan yang optimum," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada petang Isnin lepas, sebuah bot pelancong berlanggar dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut berhampiran Jeti Pelancongan Kuala Besut.
Akibat pelanggaran itu, 29 penumpang serta dua kru bot pelancong serta tiga nelayan jatuh ke dalam air, namun berjaya diselamatkan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.
Kesemua penumpang yang cedera menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Hospital Besut manakala tujuh lagi dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!