Tiada masa antara alasan memandu tanpa lesen
SEREMBAN - Tiada masa untuk mengambil ujian lesen memandu antara alasan tidak munasabah yang diberi kebanyakan individu yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan kerana memandu tanpa lesen.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak 12,728 kes itu direkodkan iaitu meningkat sebanyak 3,509 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 9,219 kes.
"Kesalahan ini banyak dilakukan oleh penunggang motosikal berusia antara 16 hingga 20 tahun.
"Bagi kesalahan tersebut, boleh dikenakan kompaun maksimum RM300 dan kenderaan juga boleh disita di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya pada sidang akhbar di JPJ Seremban di sini pada Khamis.
Menurutnya, bagi pesalah bawah umur, ibu bapa atau pemilik kenderaan juga boleh dikenakan tindakan saman.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak sewenang-sewenang membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen.
"Ada juga yang menunggang motosikal tidak menggunakan lesen mengikut kelas ditetapkan terutama penunggang motosikal berkuasa tinggi.
"Sepatutnya mereka perlu ada lesen kelas 'B Full', tapi sekadar memiliki lesen motosikal B2," katanya.
Sementara itu Hanif Yusabra berkata, sepanjang Op Tahun Baharu Cina 2022 bermula 25 Januari lalu sehingga Rabu, sebanyak 253 kesalahan tiada lesen memandu direkodkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!