Tiada keperluan adakan PRK Parlimen Gerik
IPOH - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan tiada keperluan mengikut langkah sepertimana Sabah mengadakan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Gerik.
Menurutnya, tiada permohonan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan tempoh penggal Dewan Rakyat akan tamat tahun hadapan.
"Saya fikir tidak perlu (PRK) kerana sudah hampir dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Tempoh lima tahun akan tamat pada Mei 2023. Ini sudah masuk Februari.
"Kalau kita buat setahun kemudian atau Perdana Menteri membubarkan lebih awal Parlimen, tiada makna kita buat.
"Pada pendapat saya biar ia kosong sehingga Parlimen bubar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini pada Khamis.
Sinar Harian melaporkan keputusan untuk mengadakan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah dijangka akan diketahui dalam tempoh terdekat.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya sudah memohon daripada SPR untuk mengadakan pilihan raya itu.
Kedua-dua kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan (Warisan).
Hasbullah meninggal dunia pada 16 November 2020 di Raub, Pahang akibat sakit jantung.
Beliau memenangi kerusi berkenaan pada PRU Ke-14 dengan undian majoriti undian sebanyak 5,528.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!