Lelaki mati lemas ketika menjaring ikan

Mayat mangsa ditemui terdampar di persisiran pantai Bagan Sungai Tiang pada malam Rabu.
Mayat mangsa ditemui terdampar di persisiran pantai Bagan Sungai Tiang pada malam Rabu.
A
A
A

BAGAN DATUK - Seorang lelaki ditemukan mati lemas selepas hanyut semasa memasang jaring ikan di hadapan kunci air lorong 1 dekat persisiran pantai Bagan Sungai Tiang di sini pada Rabu.

Mangsa berusia 36 tahun itu ditemukan dalam keadaan terdampar di persisiran pantai sekitar jam 11.30 malam oleh orang ramai iaitu kira-kira lima jam selepas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat seorang lelaki pada jam 6.15 petang yang ternampak mangsa terkapai-kapai menjerit meminta pertolongan.

Menurutnya, belum sempat lelaki itu berbuat apa-apa, mangsa telah tenggelam dan tidak timbul lagi.

"Usaha mencari dan menyelamat awal telah dijalankan oleh penduduk dan nelayan setempat, namun tidak menjumpai mangsa.

"Sehinggalah pada jam 11.30 malam, polis dimaklumkan mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dan masih lengkap berpakaian di persisiran pantai, berhampiran tempat kejadian memasang jaring ikan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati, tiada sebarang kesan luka, lebam atau cedera yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Katanya, semasa kejadian air dalam keadaan surut dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa lemas akibat tidak tahu berenang.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!