3 maut termasuk 2 rentung terlibat kes samun sebelum nahas

Laporan Sinar Harian mengenai tiga lelaki maut dengan dua daripadanya rentung selepas Honda HR-V yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang di sini awal pagi Khamis. (Gambar kecil: Mohd Azmir)
Laporan Sinar Harian mengenai tiga lelaki maut dengan dua daripadanya rentung selepas Honda HR-V yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang di sini awal pagi Khamis. (Gambar kecil: Mohd Azmir)
A
A
A

TUMPAT - Tiga lelaki yang maut termasuk dua daripadanya rentung selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V yang mereka naiki terbabas dan terbakar di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang di sini dipercayai terlibat dengan kes samun sebelum nahas itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketiga-tiga lelaki yang maut itu dipercayai baru melakukan samun dengan melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

"Hasil siasatan awal, kami mendapati kenderaan Honda HR-V tersebut dinaiki oleh empat lelaki yang kemudian telah pergi ke sebuah rumah di Kampung Palekbang di sini.

"Salah seorang daripada penumpang Honda HR-V itu kemudian bertindak melarikan sebuah kenderaan Ford Ranger dari rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, pemilik Ford Ranger itu yang mendengar bunyi enjin kenderaan tersebut dihidupkan kemudian keluar untuk melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, pada masa sama, seorang lagi penumpang Honda HR-V itu telah keluar lalu melibaskan senjata tajam ke arah pemilik kenderaan tersebut.

Mohd Azmir berkata, salah seorang suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dicuri itu manakala tiga lagi lelaki melarikan diri dengan menaiki Honda HR-V terbabit.

"Pemilik Ford Ranger itu kemudian bertindak mengejar suspek yang melarikan pacuan empat rodanya menggunakan kereta jenis BMW.

Artikel Berkaitan:

"Honda HR-V dinaiki tiga suspek yang melarikan diri itu kemudian terbabas dan melanggar tiang sebuah rumah di Kampung Morak di sini semasa dikejar," katanya.

Menurutnya, Honda HR-V yang terbabas itu kemudiannya terbakar.

Katanya, bagaimanapun pemilik pacuan empat roda berkenaan terus mengejar kenderaannya sehingga ke Kubang Kerian sebelum Ford Ranger itu terbabas di hadapan pejabat Pos Kubang Kerian, Kota Bharu.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis turut mengesan suspek yang berjaya melarikan diri itu," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga maut dengan dua daripadanya rentung selepas SUV jenis Honda HR-V yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang di sini awal pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Honda HR-V itu datang dari Cabang Tiga Kepulau menghala ke Wakaf Bharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!