Gabungan NGO Selangor desak MB segera selesai isu BSB
SHAH ALAM - Satu memorandum diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendesak kerajaan negeri segera mengagihkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di Selangor.
Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor diketuai Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Nazilah Idris mendakwa, memorandum itu diserahkan kerana ribuan mangsa banjir masih belum menerima bantuan itu sehingga kini.
Menurutnya, memorandum itu juga bagi menuntut kerajaan negeri bertanggungjawab kerana membatalkan projek tebatan banjir (Canal City) pada 2011 selepas menyifatkan ia tidak memberi manfaat kepada rakyat.
"10 tahun selepas 2011, berlaku bencana banjir musibah besar (18 Disember lalu) yang menyebabkan ramai meninggal dunia, kehilangan harta benda, musnah rumah, kereta dan sebagainya.
"Kami rasa rakyat Selangor rasa sedih atas kegagalan kerajaan membuat keputusan dengan alasan projek tebatan banjir itu tiada manfaat kepada rakyat Selangor.
"Kami datang hantar memorandum untuk Menteri Besar bertanggungjawab atas kegagalan dibuat 10 tahun lepas, dan kegagalan hari ini berjanji hendak bagi BSB tapi sudah berbulan-bulan tak sampai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohd Izzat Latif di hadapan pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada Khamis.
Nazilah berkata, Gabungan NGO Selangor membawa suara dan membela rakyat supaya kerajaan Selangor dapat mengambil perhatian serius tentang perkara yang diketengahkan kepada kerajaan negeri.
"Kami membuat tuntutan ini dan memberi masa sehingga akhir bulan ini dan rakyat tidak teragak-agak untuk menghukum kerajaan negeri di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, sekiranya gagal mengotakan janji," katanya.
Dalam pada itu, Gabungan NGO Selangor turut mencadangkan satu sesi dialog diadakan antara pihak mereka dan kerajaan negeri yang diwakili Menteri Besar untuk menyelesaikan banyak isu yang berlaku di Selangor.
"Insya-ALLAH jika ada satu sesi dialog tersebut kita akan kemukakan banyak lagi isu dalam negeri Selangor," kata Nazilah ketika ditemui pemberita.
Pada Rabu, Amirudin memaklumkan Klang dan Petaling mencatatkan bilangan paling tinggi mangsa banjir belum menerima BSB berbanding beberapa daerah dan agihan akan dipercepat selepas bantuan di daerah lain itu selesai.
Tambah beliau, kelewatan turut disebabkan jumlah penerima dan pemohon bantuan yang tinggi.
Setakat Rabu lebih RM100 juta akan dibelanjakan untuk BSB melibatkan lebih 100,000 permohonan.
Sementara itu, pada 30 Disember tahun lalu, Amirudin turut memaklumkan projek Canal City boleh diteruskan jika dijamin mampu mengatasi jumlah taburan hujan luar jangka seperti berlaku pada 18 Disember lalu.
Beliau berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan tebatan banjir yang dibuat semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!