Perak fokus tingkatkan pelaburan pulihkan ekonomi

Saarani (empat dari kanan) hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina PCCCI di Ipoh.
Saarani (empat dari kanan) hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina PCCCI di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak berusaha untuk memastikan enjin ekonomi negeri terus diperkuatkan agar mampu berdaya tahan mendepani persekitaran ekonomi yang masih tidak menentu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak berada pada kapasiti yang baik untuk melaksanakan agenda pemulihan ekonomi dengan meningkatkan pelaburan serta merancakkan semula sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, pihak InvestPerak diminta menjalin kerjasama lebih erat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam memastikan negeri ini menjadi destinasi pelaburan.

"Tumpuan akan diberikan kepada sektor-sektor yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global seperti penghasilan produk sarung tangan, produk kesihatan, kelengkapan perubatan, automotif serta produk elektronik.

"Peranan InvestPerak sebagai pusat pelaburan akan diperkasakan melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti promosi dan insentif penggalakan pelaburan selain memudah cara urusan kemasukan pelaburan.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri berusaha untuk mewujudkan suasana yang kondusif untuk pelabur. Ini termasuklah melalui program-program dan insentif seperti Pendigitalan No Objection Letter atau E-NOL, tawaran insentif 'Silver Valley Pre-Package' bagi projek-projek yang berimpak tinggi," katanya ketika berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi PCCCI, Datuk Liew Chee Ming dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Saarani berkata, Hari Bersama Pelabur akan diadakan sekali sebulan bagi membolehkan kerajaan negeri berinteraksi terus dengan pelabur yang berminat menanam modal di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin inisiatif ini bukan sahaja mampu menemukan kita dengan pelabur-pelabur yang berpotensi dan berkualiti tetapi dapat menyediakan maklumat yang komprehensif, memberi khidmat nasihat serta bantuan kepada para pelabur yang ingin membuat pelaburan dan membuka operasi perniagaan di Perak.

"Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi termasuk Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (SteP) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) akan membantu golongan usahawan dan penyediaan peluang serta persiapan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri," ujanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang memantapkan penyediaan perkhidmatan dan infrastruktur digital bagi mencetuskan lebih banyak kolaborasi dan inovasi yang boleh membangunkan ekonomi digital.

"Langkah ini penting sejajar dengan perkembangan teknologi digital yang menjadi 'game changer' dalam usaha memacu ekonomi mampan dan berkelangsungan.

"Walaupun orientasi kerajaan dan pihak swasta agak berbeza, namun kita sama-sama mahu mewujudkan persekitaran kondusif yang mana perniagaan boleh berkembang maju," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!