ESSCom siasat dakwaan 10 lelaki masuk Lahad Datu
LAHAD DATU - Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sedang menyiasat dakwaan lebih 10 lelaki bersenjata dipercayai warga Filipina menyusup masuk ke Lahad Datu di sini melalui perairan Tambisan.
Komander ESSCom Deputi Komisioner Hamzah Ahmad, ketika dihubungi Bernama berkata, laporan itu masih dalam siasatan.
"Ketika ini keadaan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) baik dan terkawal," katanya ringkas melalui aplikasi Whatsapp pada Khamis.
Menurut sumber, Bernama difahamkan seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan pada minggu lepas.
Lelaki berkenaan juga mendakwa kesemua individu itu dipercayai warga Filipina berdasarkan perbualan menggunakan bahasa Suluk. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!