Lakonan, skrip Pas masih tak berubah

NUR JAZLAN
NUR JAZLAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sikap main wayang dan dunia lakonan para pemimpin Pas didakwa tidak pernah berubah sejak awal penubuhan parti itu 60 tahun lalu.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sikap memperjuangkan Islam dan agenda perpaduan ummah yang dilaungkan Pas sejak puluhan tahun lalu hanya sebuah polemik atau retorik politik untuk terus meraih sokongan rakyat.

Menurutnya, perkara itu terbukti hanya sebuah sandiwara kerana dari dulu sehingga kini dan hanya kerajaan pimpinan UMNO sahaja yang mengangkat martabat Islam serta membela nasib rakyat.

"Cuba kita lihat sejarah, sejak Pas ditubuhkan lagi mereka hanya melaungkan membela Islam dan mahu memperkukuhkan perpaduan ummah.

"Tapi pada masa sama, perjuangan Islam yang dibawa Pas hanya gah pada slogan dan mereka sebenarnya jadi punca kepada perpecahan ummah.

"Fatwa Haji Hadi (Hadi Awang), perbuatan mengkafirkan orang UMNO dan banyak lagi perbuatan orang Pas menyebabkan orang Melayu Islam berpecah belah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang dalam akaun Facebook beliau yang menuduh UMNO terlalu asabiyah dan mampu memperbetulkan kesilapan itu.

Katanya, rekod Pas juga telah membuktikan bagaimana mereka menunggang perjuangan perpaduan ummah ketika bersama Semangat 46, Berjasa, Hamim dan Kimma dalam membentuk kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) di Kelantan pada 1990.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, agenda perpaduan itu akhirnya hancur apabila Pas membolot segala kekuasaan dalam pakatan itu sehingga mendorong pimpinan Semangat 46 meninggalkan APU.

"Hadi usahlah bercerita pasal agenda perpaduan kalau beliau sendiri bersama Pas menjadi duri dalam daging kepada isu perpaduan ini.

"Hadi juga tak perlu nak mengajar atau mahu memperbetulkan UMNO kalau parti dia sendiri pun sekarang ini berpecah dua.

"Biarlah UMNO uruskan diri sendiri dan ada baiknya Hadi berceramah kepada orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga menjadi punca kepada perpecahan Melayu dengan lebih teruk,"ujarnya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut menempelak kenyataan Hadi itu yang mahu memperjuangkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, perjuangan perpaduan rakyat majmuk oleh Pas juga merupakan retorik politik yang sudah diamalkan parti itu ketika bersama Pakatan Rakyat (PR) dan Perikatan Nasional (PN).

"Dulu masa bersama DAP dan PKR dalam PR, Pas menjulang tinggi barisan kepimpinan dalam dua parti itu. Semuanya hanya yang baik-baik keluar dari mulut pemimpin Pas.

"Tapi selepas terbubarnya PR dan berbalah dengan DAP serta PKR, pemimpin Pas mula menyerang bekas rakan sekutu mereka.

"Mereka menimbulkan prasangka terhadap DAP dan MCA yang majoriti pemimpin serta ahlinya adalah orang Cina. Jadi di mana asas perjuangan perpaduan berbilang bangsa yang dibanggakan Pas selama ini?," soalnya.