ABIM gesa PBB bersidang luluskan resolusi dakwa Israel

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang bagi meluluskan resolusi penting untuk mendakwa Israel atas kesalahan jenayah aparteid dengan segera.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini kerana kesalahan itu secara jelas telah bercanggah dengan norma dan undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, Israel sendiri telah mengakui tanggungjawabnya untuk menghormati prinsip dalam ‘customary international law’ di mana larangan ke atas dasar aparteid adalah antara prinsip yang termaktub dalam undang-undang tersebut dan prinsip jus cogens.

“Maka, secara jelas ia mengikat rejim Israel di peringkat antarabangsa melaksanakan tanggungjawab untuk tidak melakukan sebarang dasar aparteid.

“ABIM juga menegaskan laporan yang dikeluarkan seharusnya membangkitkan kesedaran masyarakat dunia untuk menambahkan lagi tekanan ke atas rejim Israel demi kelangsungan masa depan rakyat Palestin.

“Ini termasuk sekatan ekonomi secara bersasar yang harus dilakukan ke atas rejim Zionis dan mana-mana individu serta syarikat yang terlibat dalam melaksanakan dasar aparteid ini.

“Selain itu, kerajaan di negara-negara Arab khususnya perlu menghentikan sebarang bentuk aktiviti atau proses normalisasi dengan rejim zionis kerana ia secara langsung akan menyokong Israel untuk meneruskan dasar aparteid ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, ABIM menyambut baik penegasan badan hak asasi dunia, Amnesty International menerusi laporan 'Israel’s Apartheid Againts Palestinians' bahawa Israel adalah negara aparteid berasaskan dasar tidak perikemanusiaan yang dilakukan mereka terhadap rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, penegasan sebegini harus ditegaskan sejak beberapa dekad lalu memandangkan tindakan kejam Israel tanpa ihsan manusiawi terhadap warga Palestin telah dilakukan sejak puluhan tahun dulu.

“Ini termasuklah insiden pembunuhan secara besar-besaran ke atas warga yang tidak berdosa, pengusiran dari tanah air mereka, penangkapan dan penyeksaan secara rambang dan pelbagai pelanggaran terhadap hak asasi,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!