ECERDC sasar wujudkan lembah tenusu di setiap negeri dalam ECER
KUANTAN - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasar untuk mewujudkan lembah tenusu di setiap negeri dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi tempoh lima tahun akan datang mengikut kerangka kerja Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Baidzawi Che Mat berkata projek Lembah Tenusu ECER itu akan dimulakan pada 2023 dan dijangka membantu negara mencapai sasaran 100 peratus tahap sara diri (SSL) bagi susu segar menjelang 2025, yang ditetapkan di bawah RMK12.
Beliau berkata, ia juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada susu import.
"Projek lembah tenusu yang dimulakan di Muadzam Shah amat bersesuaian dengan agenda kerajaan iaitu jaminan makanan. Jadi, inilah sektor yang tepat, yang kami usahakan.
"Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) adalah projek awam-swasta yang sangat berjaya...berlandaskan model ini, ia berhasil. Jadi kami akan melakukan usaha yang sama (di kesemua negeri di wilayah ECER),” katanya baru-baru ini.
Beliau berkata, ECERDC menyasar untuk menjadikan ECER sebagai hab tenusu yang lengkap dan bersepadu di Malaysia.
Baidzawi berkata, projek lembah tenusu di Jemaluang, Mersing, Johor, yang sedang dilaksanakan, dijangka siap pada Januari tahun hadapan dan akan menyumbang sebanyak 5.1 juta liter susu setahun
"ECERDC juga sedang mengenal pasti lokasi berpotensi di Setiu, Terengganu; Raub, Pahang dan Lojing, Kelantan untuk tapak projek lembah tenusi baharu dengan kapasiti 13.4 juta liter susu setahun," katanya.
Beliau berkata, apabila kesemua projek pembangunan itu siap dan beroperasi sepenuhnya, Lembah Tenusu ECER dijangka menyumbang 24.6 juta liter susu segar setahun atau 40 peratus kepada pengeluaran susu segar negara.
Selain pembangunan lembah tenusu, ECERDC menyasar untuk membangunkan sektor berkaitan ternakan di wilayah pantai timur seperti makanan ternakan dan juga agropelancongan.
"ECERDC ada projek agromakanan yang ingin dilaksanakan dalam RMK12 dan kami berharap ia akan berterusan kerana pertanian mempunyai banyak manfaat serta peluang, selain memberikan peluang pekerjaan dan kekayaan baharu negara,” katanya.
Baidzawi berkata, ECERDC sentiasa menyokong inisiatif kemampanan bekalan makanan negara menerusi pelaksanaan projek agrofood@ECER bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk import.
Justeru, ECERDC merancang untuk melaksanakan projek pertanian yang mempunyai permintaan tinggi seperti penanaman kelapa, makanan ternakan dan tanaman fertigasi seperti cili dan tomato secara komersial, katanya.
Beliau berkata pembangunan projek pertanian secara komersial yang dirancang itu mampu menyumbang peningkatan sebanyak lapan peratus kepada tahap sara diri dan membuka peluang pendapatan kepada komuniti setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!