Semua mangsa ribut dapat bantuan: Saarani
IPOH - Kerajaan negeri Perak memberi jaminan bantuan kewangan dan kerja baik pulih rumah untuk mangsa ribut di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini akan disalurkan dengan segera.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semakan akan dibuat bersama pegawai daerah Kinta terlebih dahulu bagi menambah peruntukan kewangan susulan terdapat mangsa mendakwa tidak memperoleh wang ihsan sebanyak RM300 itu.
"Semasa mengumumkan bantuan itu, saya menyebut hanya 219 buah rumah terkesan jadi saya beritahu kepada pegawai daerah ada wang yang secukupnya diberikan kepada hari berkenaan.
"Tetapi ada kemungkinan angka itu bertambah dan mereka memerlukan wang lagi. Jadi saya akan berhubung dengan pegawai daerah untuk bertanya mengenai masalah ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini pada Khamis.
Menurutnya, bantuan sebanyak RM1,000 dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pula akan diberikan setelah menerima angka tepat jumlah mangsa yang terjejas.
"Kita juga membantu membaik pulih kerosakan dan kontraktor tempatan diberi tanggungjawab untuk memulakan kerja, namun kekangannya apabila kedai perkakasan ditutup untuk sambutan Tahun Baharu Cina. Saya ingat kerja-kerja itu sudah bermula Selasa atau Rabu dan kita berharap kerja itu segera disiapkan.
"Sudah pasti kita tidak akan dapat membayar ganti rugi semua kerosakan, namun kita sedaya upaya membantu mereka yang terjejas," katanya.
Pada Ahad lalu, ratusan rumah di beberapa kawasan musnah dalam kejadian ribut mengakibatkan kerosakan teruk di bahagian bumbung.
Kejadian itu menyebabkan sebahagian besar mangsa yang merupakan masyarakat kaum Cina tidak dapat menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Sehingga Selasa, polis menerima sebanyak 305 laporan polis berkaitan kerosakan rumah akibat ribut telah diterima.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan masih ada laporan baru diterima daripada mangsa terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!