Polis cari saksi kemalangan langgar lari

No Image Caption
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis meminta saksi kes kemalangan langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 112 Jalan Ipoh-Butterworth dekat Sungai Bogak di sini, 10 November tahun lalu supaya tampil membantu siasatan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.15 malam itu, S Longeswaran, 25, meninggal dunia selepas sehari menerima rawatan di Hospital Taiping.

Kejadian turut mengakibatkan seorang lagi penunggang motosikal berusia 26 tahun mengalami luka di tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, nahas dipercayai berlaku semasa kedua-dua penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Bagan Serai menghala ke Parit Buntar.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, datang sebuah kereta yang tidak dapat dikenalpasti melanggang motosikal mangsa dari arah belakang

"Pelanggaran menyebabkan motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah motosikal lain.

"Kedua-dua penunggang motosikal terbabit terjatuh di atas jalan raya manakala pemandu kereta berkenaan telah melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam kes berasingan, polis turut mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan kes kemalangan maut di Kilometer 187.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada 18 November tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa Muhammad Azwan Adnan, 31, meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Taiping.

Mazuki berkata, semasa kejadian, mangsa menunggang motosikal sendirian dari arah Taiping menghala ke Pulau Pinang untuk ke tempat kerja.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal motosikalnya dengan baik lalu terjatuh.

"Mangsa yang parah telah dibawa ke Hospital Taiping, namun disahkan meninggal dunia pada 20 November lalu," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kerian, Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanapi di talian 0136200564.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!