Senarai hitam pengamal perubatan jual sijil vaksin palsu
SHAH ALAM - Kerajaan negeri menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenarai hitam pengamal perubatan yang terlibat penjualan sijil vaksin palsu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian sebagai mengulas pendedahan lebih 5,000 sijil digital vaksinasi dikeluarkan oleh klinik di Gombak kepada individu yang tidak diberikan suntikan vaksin Covid-19.
Amirudin berkata, pihaknya sedang menyemak senarai nama individu terlibat dan modus operandi yang digunakan sebelum tindakan lanjut diambil.
"Agak malang kes ini berlaku Selangor. Walaupun kes ini bermula di Terengganu namun menerusi komputer riba yang dirampas mendapati ada ribuan kes berurusan di Selangor.
"Pihak kita sedang mengenal pasti adakah mereka mengambil vaksin atau sekadar mengemas kini MySejahtera tanpa menyuntik vaksin," katanya.
Katanya, kesemua yang terlibat kini sedang disiasat dan akan didakwa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan termasuk menipu dan berkomplot menyebar penyakit berjangkit dalam negara.
Justeru, Amirudin menasihatkan rakyat Malaysia khususnya penduduk di Selangor tidak terpengaruh dengan sindiket penipuan penjualan sijil vaksin tersebut.
"Secara data jelas, pemberian vaksin membuktikan telah mengurangkan kesan jangkitan.
"Kerajaan negeri akan pergiat kempen pemberian dos penggalak. Sebanyak 150,000 dos penggalak disediakan oleh kerajaan negeri dan 60,000 daripadanya telah diagihkan, " katanya.
Pada Sabtu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita mengenai kegiatan tidak bermoral segelintir pengamal perubatan yang menawarkan serta menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu kepada orang ramai.
Baginda meminta pihak berkuasa di Selangor untuk menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalah guna kuasa sebagai pengamal perubatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!