Gaduh sebab berebut pelanggan, dendam lama

Video pergaduhan di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama tular di laman sosial sejak Rabu.
Video pergaduhan di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama tular di laman sosial sejak Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Insiden pergaduhan di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama di sini bukan melibatkan antara pelanggan dan peniaga sebaliknya salah faham antara sesama peniaga di situ.

Itu penjelasan yang diberikan Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Asmadi Mohd Razali mengenai video insiden pergaduhan yang tular di media sosial sejak Rabu.

Menurutnya, insiden itu berlaku kira-kira jam 11 malam pada Selasa lalu dan ketika itu kebanyakan peniaga sedang berkemas bagi menutup premis masing-masing.

"Insiden itu berpunca daripada salah faham dan masalah peribadi antara dua peniaga di situ sejak sekian lama dan ia sudah diselesaikan dengan baik malah mereka juga telah bermaafan.

"Ia tidak membabitkan kerosakan harta benda, kecederaan pada pelanggan dan perbalahan itu berlaku sebentar sahaja," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Sebelum ini tular di media sosial video berdurasi 1 minit 12 saat yang memaparkan pergaduhan ketika pelanggan sedang menjamu selera.

Perkongsian video itu mendapat perhatian warganet dan ada yang mendakwa ia berlaku kerana 'berebut pelanggan'.

Mengulas lanjut, Asmadi meminta orang ramai supaya tidak melakukan sebarang spekulasi sehingga mencemarkan imej kompleks makanan berkenaan yang menjadi tumpuan pengunjung ke Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi jaminan kompleks makanan yang terletak berhampiran Padang Kota Lama itu selamat dikunjungi oleh orang ramai.

"Dalam perniagaan, di mana-mana pun boleh berlaku salah faham dan peniaga lain atau pelanggan tidak perlu bimbang kerana ia sudah diselesaikan dengan baik.

"Di sini terdapat 32 gerai makanan dan minuman yang menjadi tumpuan pengunjung ketika ke Pulau Pinang bagi menikmati hidangan seperti laksa, pasembor, rojak, jeruk, cendol dan macam-macam lagi," tambahnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 36 tahun berhubung perselisihan faham antaranya dengan lima orang lelaki yang mempunyai pertalian keluarga.

Menurutnya, dua daripada lelaki yang terlibat adalah adik kepada pengadu manakala tiga lagi adalah sepupu mereka.

Jelasnya, semasa pergaduhan berlaku kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati punca pergaduhan kerana berebut pelanggan dan terdapat dendam lama antara kedua belah pihak.

"Mereka yang terlibat mengalami kecederaan ringan iaitu luka ringan dan calar di bahagian badan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Saravanan berkata, kesemua yang terlibat telah hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata.

Beliau turut meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian supaya tampil ke IPD Timur Laut untuk membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!