Jawapan respons bertulis Washington, NATO bocor

Dokumen respons bertulis dikemukakan AS dan NATO yang didedahkan El Pais pada Rabu. - Foto: Agensi
Dokumen respons bertulis dikemukakan AS dan NATO yang didedahkan El Pais pada Rabu. - Foto: Agensi
A
A
A

MADRID - Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menawarkan kawalan senjata dan langkah membina kepercayaan kepada Rusia untuk meredakan ketegangan bersama Ukraine.

Dokumen itu didedahkan laman web akhbar di Sepanyol, El Pais pada Rabu merujuk kepada respons bertulis yang dikemukakan Washington dan NATO berhubung tuntutan jaminan keselamatan Moscow.

“Ia turut mencadangkan komitmen timbal balik oleh AS dan Rusia untuk mengelakkan langkah penempatan sistem peluru berpandu yang dilancarkan dari darat dan pengerahan pasukan tentera tetap di bawah misi tempur di wilayah Ukraine.

“Respons bertulis Washington dan NATO juga menggesa Moscow memulihkan hubungan diplomatik dengan perikatan tersebut serta memperbaharui dan mengadakan rundingan semula perjanjian kawalan misil nuklear bersama AS,” jelas laporan itu.

Selain itu, ia juga mencadangkan Dialog Kestabilan Strategik AS-Rusia terhadap perjanjian kawalan senjata diperbaharui setelah Moscow didakwa melanggar Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Pertengahan 1987 yang kini digantung setelah Washington menarik diri.

Kandungan dokumen itu juga memberi amaran tegas kepada Kremlin bahawa AS dan sekutunya akan memperkukuhkan kedudukan pertahanan mereka sebagai tindak balas terhadap sebarang pencerobohan lanjut ke atas Ukraine.

Susulan pendedahan itu, jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price berkata, laporan El Pais adalah tepat dalam menggambarkan kedudukan Washington.

“Saya tidak melihat ia memaparkan maklumat yang tidak sahih,” ujarnya sambil menambah Washington tidak membocorkan dokumen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov enggan mengulas lanjut tentang kebocoran dokumen itu. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!