KL City bakal dapat bonus
KUALA LUMPUR City (KL City) FC menerima suntikan semangat baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini apabila bakal mendapat 'durian runtuh' tidak lama lagi.
Berita gembira itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan pemberian tersebut sebagai mengotakan janji yang dibuatnya jika KL City menjuarai Piala Malaysia.
"Kita akan beri selepas ini. Kita dah janji jika mereka menang, cuma kita tidak sampaikan lagi (pemberian bonus). Kita nak pastikan bonus akan diberikan kepada semua pemain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada Khamis.
Pada Disember tahun lalu, Shahidan dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan akan memberi ganjaran kepada skuad City Boys atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan apa bentuk hadiah yang akan diberikan selepas KL City mengakhiri penantian selama 32 tahun untuk kembali muncul juara kejohanan paling berprestij itu.
Dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 November lalu, Zhafri Yahya dan kapten, Paulo Josue masing-masing menyumbang satu gol bagi membantu KL City membenam juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0.
Untuk rekod, ia merupakan kejayaan kali keempat skuad Warga Kota menjulang Piala Malaysia selepas melakar hatrik pada edisi 1987, 1988 dan 1989.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!