PRN Johor: Ujian psikometrik RBTag akan tambahkan keyakinan pengundi

Manimaran
Manimaran
A
A
A

SHAH ALAM - Calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor digalakkan untuk mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi menambahkan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan pengundi negeri itu.

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, pengundi hari ini sudah mula mengutamakan calon yang bersih dan berintegriti tinggi.

Menurutnya, pengundi tidak hanya mahu ambil tahu tentang janji, manifesto atau latar belakang calon semata-mata, tetapi mereka juga berminat dengan keputusan ujian RBTag calon yang bertanding.

“Ini kerana berdasarkan pemerhatian sewaktu PRN Melaka, saya melihat kemahuan pengundi untuk calon yang bersih dan berintegriti semakin meningkat.

“Sebab itu, semasa kempen tempoh hari, kali pertama dalam sejarah landskap pilihan raya negara, ramai calon termasuk calon bebas menekankan integriti dalam manifesto mereka.

“Jadi, selain parti membuat saringan calon perihal muflis dan jenayah, jika ditambah satu lagi, iaitu ujian psikometrik, ia akan melengkapkan proses tapisan calon.

"Jika calon mengambil ujian ini, sekurang-kurangnya pengundi akan berpuas hati,” katanya dalam Program Sinar Live bertajuk ‘Ujian Psikometrik ‘Tiket’ Calon PRN Johor’ yang dihoskan Hazwan Mokhtar di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Sekretariat #RasuahBusters, Nurhayati Nordin menyarankan agar calon-calon yang berpotensi bertanding pada PRN Johor mengambil ujian psikometrik RBTag sebagai alat pengukur kebolehpercayaan seseorang individu dan menjadi jaminan kestabilan kepada rakyat negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Ditanya tentang mengapa kurangnya galakan untuk calon PRN Melaka menjalankan ujian itu sebelum ini, beliau tidak menolak kemungkinannya adalah kerana hasil ujian itu mampu mengganggu gugat keputusan calon yang bertanding.

“Mungkin juga di Melaka, ia satu perkara yang baharu, jadi dengan kekangan waktu dan kesibukan berkempen, sukar nak laksanakan.

“Tapi kali ini (PRN Johor), sudah dimaklumkan lebih awal iaitu sebelum tarikh penamaan calon diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bermakna masih ada masa. Jadi patutnya parti gunakan ini sebagai satu platform untuk menguji calon mereka kerana ia juga baik untuk parti masing-masing,” ujarnya.

Tambah Manimaran, pengambilan ujian itu juga boleh dimasukkan sebagai satu klausa dalam Akta Pilihan Raya 1958.

“Kalau tidak, ada calon yang akan pertikaikan mengapa perlu buat sedangkan ia tidak diwajibkan. SPR perlu laksanakannya sebab kita nak bawa satu anjakan paradigma baharu dalam landskap pilihan raya,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!