'Jangan ungkit lagi, saya sudah lupakan Muafakat Nasional'

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu lagi dikaitkan dengan Muafakat Nasional (MN) dan menegaskan, parti itu telah membuat keputusan untuk tidak menyertainya.

Beliau menegaskan tidak mahu lagi persoalan itu diungkit lagi.

Menurutnya, UMNO sendiri telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

"Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO. Jadi, Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.

"Secara peribadi, saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss!" katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjawab dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebooknya yang mendakwa pengkhianatan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi punca MN gagal.

Tambah Muhyiddin, Najib menuduh Bersatu meletakkan calon melawan UMNO dalam PRN Sabah dan itu adalah satu perbuatan khianat kepada UMNO.

Bagaimanapun, faktanya, tidak ada satu pun kerusi di mana calon Bersatu melawan UMNO dalam PRN Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, saya telah mempengerusikan beberapa mesyuarat yang dihadiri oleh pimpinan PN, BN dan PBS untuk menetapkan pembahagian kerusi bagi PRN Sabah.

"Saya telah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat-mesyuarat ini penting untuk PN, BN dan PBS mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Sabah.

"Saya juga pada waktu itu telah mengarahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung PN untuk membentuk jawatankuasa pembahagian kerusi antara parti-parti PN, BN dan PBS dengan satu arahan yang jelas bahawa semua parti mesti mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

"Perincian pembahagian kerusi dibincangkan di peringkat jawatankuasa ini dan antara yang terlibat dalam perbincangan mewakili PN dan BN ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Bung Mokhtar dan Datuk Seri Hajiji," katanya.

Ujar Muhyiddin, pada peringkat awal jawatankuasa ini telah memutuskan sejumlah kerusi untuk ditandingi oleh parti-parti PN, BN dan PBS tetapi BN kemudiannya menambah jumlah kerusi yang hendak ditandingi dan ini menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa tempat.

Di pihak PN jelasnya, kerusi yang terlibat adalah kerusi-kerusi yang ditandingi oleh STAR dan bukannya Bersatu.

"Di beberapa tempat berlaku pertembungan antara BN dan PBS. PBS juga meletakkan calon-calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh STAR menyebabkan berlaku pertembungan antara PBS dan PN.

"Melihat keadaan ini, saya telah pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir bagi mengelakkan pertembungan sesama parti-parti PN, BN dan PBS. Saya mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil parti PN, BN dan PBS.

"Malangnya, mesyuarat ini gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti-parti rakan yang lain," jelasnya.

Pada saat itu katanya, Bersatu adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan-rakan dalam PN, BN dan PBS.

Pas pula mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi.

"Jadi, saya tidak faham dengan tuduhan Datuk Seri Najib bahawa Bersatu mengkhianati UMNO dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang UMNO dan itu menjadi punca Muafakat Nasional gagal.

"Mengenai calon Ketua Menteri Sabah, saya telah menyatakan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO supaya menamakan calon Ketua Menteri Sabah daripada UMNO. Tetapi dia tidak menamakan sesiapa pun sehinggalah kempen PRN Sabah berakhir.

"Kerana itu saya telah menamakan Datuk Seri Hajiji sebagai calon Ketua Menteri Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," ujarnya.

Dalam PRN Sabah, PN memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi dan menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS.

Justeru, PN telah mencalonkan Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencalonan ini dipersetujui oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri termasuk UMNO.

"Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu UMNO supaya menamakan calon. Sekiranya UMNO tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan UMNO.

"Datuk Seri Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab Muafakat Nasional gagal.

"Saya fikir Datuk Seri Najib elok ambil masa memuhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.

"Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya di dalam UMNO, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai 'national embarrassment' oleh mahkamah diangkat sebagai 'boss' dan dilaungkan slogan 'malu apa bossku'. Di mana letaknya keimanan? Di mana maruah?" Soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!