Kisah pisang goreng di petang cuti Tahun Baharu Cina
INDAH dan harmoninya kehidupan masyarakat majmuk dan bermacam-macam cuti perayaan di Malaysia. Dua hari sudah berlalu sambutan Tahun Baharu Cina yang kebetulan hari cutinya jatuh pada Selasa dan Rabu.
Jadi ramailah rakyat kita tak kira Cina, Melayu, India atau bangsa lain ambil kesempatan bercuti panjang bermula hari Sabtu sehingga ada sampai hujung minggu ini.
Merak Jalanan yang duduk di Lembah Klang dapat rasa kurangnya orang sepanjang hujung minggu lalu sehingga Khamis. Jalan raya tak sesak, banyak premis perniagaan sama ada kedai, restoran dan gerai-gerai tepi jalan tak beroperasi.
Inilah kisahnya yang Merak Jalanan nak kongsikan. Petang itu, Merak Jalanan mahu menziarahi keluarga yang datang dari kampung di Kajang. Hajat hati nak bawa pisang goreng sebagai buah tangan untuk santapan minum petang bersama mereka.
Mula-mula Merak Jalanan cari gerai pisang goreng di sekitar kawasan perumahan, semua tutup. Kemudian Merak Jalanan memandu kereta mencari di kawasan luar sedikit dari tempat tinggal, pun gerai-gerai pisang goreng tutup.
Masih tak berputus asa, Merak Jalanan pun meneruskan perjalanan ke Kajang. Dalam hati berkata, mungkin di kawasan Kajang Utama ada gerai pisang goreng yang beroperasi.
Sampai saja di Kajang Utama, Merak Jalanan mula melilau mencari gerai pisang goreng di tepi jalan. Namun tetap hampa. Merak Jalanan pusing lagi di kawasan sekitar juga tak dapat nak beli pisang goreng.
Akhirnya Merak Jalanan mengalah dan bertandang ke rumah saudara itu dengan tangan kosong.
Iktibar yang Merak Jalanan dapat, tak kiralah perayaan Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas atau Thaipusam yang panjang, usah berhajat nak beli pisang goreng! Sebab orang kita pantang cuti panjang, mesti balik kampung atau melancong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!