Lelaki terjun jambatan selamat pulang ke rumah

Pasukan penyelamat bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikatakan terjatuh dari jambatan Sungai Besut. - Foto ihsan pembaca
Pasukan penyelamat bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikatakan terjatuh dari jambatan Sungai Besut. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

BESUT - Ketika pasukan penyelamat bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) individu berkain pelikat yang dipercayai terjatuh dari jambatan Sungai Besut, di sini pada Rabu, lelaki terbabit rupa-rupanya sudah pulang ke rumah.

Lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa, selepas terjun dan 'menyegarkan' diri di sungai itu, dia pulang ke rumahnya yang terletak di Lay Out Padang Luas, Jerteh, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, perkara itu dimaklumkan isterinya susulan hebahan di laman sosial mengenai operasi SAR di jambatan berkenaan.

Katanya, wanita berusia 53 tahun itu bersama anaknya kemudian datang ke balai polis kira-kira jam 9.30 pagi pada Khamis untuk menceritakan hal sebenar.

"Isteri mangsa ternampak status di Facebook dan ciri-ciri pakaian individu berkain pelikat yang didakwa terjatuh dari jambatan sama seperti dipakai suaminya ketika kejadian.

"Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk menerima rawatan selepas mengadu sakit-sakit badan kerana terjun sungai," katanya.

Azrol Anuar berkata, siasatan mendapati punca sebenar lelaki itu bertindak terjun dari jambatan adalah kerana tidak tahan panas.

"Lelaki berkenaan mendakwa badannya panas pada setiap jam menyebabkan dia berasa tidak tahan lalu nekad terjun dari jambatan pada waktu tengah hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, seorang pengguna jalan raya membuat laporan polis selepas ternampak lelaki berkenaan terjatuh jambatan menerusi cermin sisi keretanya kira-kira jam 1.55 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!