Kumpulan militan Iraq akui lancar serangan dron ke UAE
DUBAI - Sebuah kumpulan militan yang kurang dikenali, Alwiyat al-Waad al-Haq di Iraq telah mendakwa melancarkan empat serangan dron ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor agensi berita AFP pada Khamis.
Ia dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan bersenjata yang pro-Iran.
Menurut kenyataan kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan, empat dron itu dilancarkan pada waktu subuh pada Rabu dengan menyasarkan negara Teluk itu.
Bagaimanapun, UAE mengumumkan ia berjaya memintas dan memusnahkan tiga dron yang disasarkan ke negaranya.
Pada bulan lalu, pemberontak Huthi di Yemen mengaku melancarkan tiga serangan dron dan peluru berpandu ke UAE.
UAE terlibat dalam perang di Yemen dengan menyertai tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi pada tahun 2015 bagi membantu kerajaan pimpinan Presidennya, Abdrabbuh Mansur Hadi setelah Huthi berjaya menawan ibu kota Sanaa.
Bagaimanapun, Jurucakap Huthi, Yahya Saree mengucapkan tahniah kepada Alwiyat al-Waad al-Haq kerana melancarkan serangan dron itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!