Tarawih: Jakim teruskan SOP sedia ada
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berhasrat untuk memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi ibadah tarawih sempena Ramadan akan datang.
Sebaliknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad, SOP sedia ada akan diteruskan.
"SOP sama. Sama ada di dalam solat, di kedai makan, majlis sosial dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Bulan Solat Kebangsaan, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan berhubung SOP khusus sempena Ramadan.
Pada Ramadan tahun lalu, negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ibadah tarawih dibenarkan mengikut kapasiti ditetapkan dan aktiviti lain diadakan dengan terhad bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
Sementara itu, menyentuh mengenai Bulan Solat Kebangsaan, Idris berkata, program tersebut diharap memberi kesedaran tinggi di kalangan umat Islam supaya mengambil berat mengenai kepentingan dan kewajipan solat.
"Kenapa kita anggap solat penting? Kerana solat merupakan teras kepada kehidupan.
Pengabaian solat mengakibatkan berlaku pelbagai perkara seperti suami tidak bertanggungjawab, isteri tidak taat suami, anak derhaka dan kuncinya adalah solat," katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan pemangku Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!