JAS kenal pasti pemilik tanah tapak pelupusan sampah haram
SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor akan mengenal pasti pemilik tanah susulan aktiviti pembakaran sampah plastik di kawasan pelupusan sampah dan ladang kelapa sawit yang dipercayai berlaku di sekitar Selangor.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak JAS juga akan membuat siasatan di bawah Seksyen 29A AKAS 1974, selain kes terbabit turut dirujuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk diambil tindakan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan tersebut.
“Dua hari lalu, saya telah di'tagged' oleh rakan netizen mengenai aduan pembakaran sampah plastik di kawasan pelupusan sampah dan ladang kelapa sawit di Facebook Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka).
“Saya telah majukan aduan tersebut kepada Ketua Pengarah JAS. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 29A AKAS 1974 dan akan mengenal pasti pemilik tanah berkenaan.
“Kes juga dirujuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk diambil tindakan di bawah bidang kuasa jabatan tersebut,” ciapnya menerusi satu hantaran di Twitter miliknya pada Jumaat.
Dua hari lalu, saya telah di'tagged' oleh rakan netizen mengenai aduan pembakaran sampah plastik di kawasan pelupusan sampah dan ladang kelapa sawit di Fb PEKA. pic.twitter.com/AYIeinD3yo
— Tuan Ibrahim Tuan Man (@titm_official) February 4, 2022
Tuan Ibrahim turut memuat naik beberapa gambar yang dikongsikan di Facebook Peka dan mendapati pembakaran sampah tersebut telah mencemarkan udara serta mengganggu penduduk di kawasan Setia Alam.
Menurutnya, jarak antara kawasan residen dengan tapak pelupusan haram tersebut lebih kurang 1.09 kilometer (km).
“Sampah yang terdapat di tapak pelupusan tersebut adalah terdiri daripada buangan domestik. Tapak tidak berpagar dan tiada Papan Tanda atau Notis Larangan Pencerobohan ke atas tanah milik.
“Siasatan menggunakan dron juga mendapati lebih kurang 100 buah penempatan haram warga asing yang terletak kurang 100 meter dari tapak pelupusan sampah haram. Mungkin menjadi punca pembuangan sampah haram,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!