[VIDEO] Pemburu diberkas, senjata api dirampas
HULU SELANGOR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) menahan tiga warga tempatan disyaki pemburu haram dan merampas senjata api dalam operasi di Hutan Simpan Bukit Belata Tambahan pada Selasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penahanan kesemua lelaki berusia lingkungan 56 hingga 72 tahun kira-kira jam 3.20 itu dibantu Veteran Angkatan Tentera dan Orang Asli (VeTOA).
Menurut beliau, ketika serbuan pasukan terbabit menemui selaras senjata api, 23 butir peluru, tali pinggang peluru, empat bilah parang serta kapak dan lampu suluh.
“Turut ditemui ialah bahagian badan kijang iaitu ekor, perut dan testis,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau memberitahu, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam kegiatan pemburuan haram atau penyeludupan hidupan liar.
“Barang yang dirampas dibawa ke Pejabat Perhilitan Selangor dan kesemua mereka disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!