Larang tangkap ikan temelian selama tiga bulan

Abdullah menunjukkan ikan temelian yang dibiakkan di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok ketika lawatan beliau pada Khamis.
Abdullah menunjukkan ikan temelian yang dibiakkan di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok ketika lawatan beliau pada Khamis.
A
A
A

JERANTUT - Jabatan Perikanan Negeri Pahang mengeluarkan larangan menangkap ikan temelian atau temoleh di sungai negeri ini selama tiga bulan bermula Februari ini berikutan musim ikan itu bertelur.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, larangan dikuatkuasan bagi mengelakkan risiko kepupusan jika aktiviti penangkapan tidak dikawal terutama pada musim berkenaan.

Menurutnya, individu yang didapati menangkap ikan terbabit dalam tempoh larangan boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 selain kompaun sehingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan akan dirampas.

"Ikan ini mampu mencapai berat antara 25 hingga 40 kilogram (kg) dan hanya terdapat secara bebas di sungai utama di Pahang dan Perak sahaja.

"Ia sering menjadi buruan kerana harganya tinggi mencecah antara RM50 hingga RM70 sekilogram," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Akuakultur Koperasi Tunas Lada dan Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar Zam Aquatic, di sini pada Khamis.

Tambah beliau, dalam tempoh larangan, jabatan itu memasang papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai peringatan kepada orang ramai.

Abdullah berkata, kegiatan menangkap ikan temelian sering berlaku di tiga sungai terbabit dan aktiviti itu meningkat apabila tiba musim bertelur.

Menurutnya lagi, ada nelayan darat di beberapa kampung di Jerantut dan Maran didapati masih menangkap ikan temelian dalam tempoh larangan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdullah turut memaklumkan, Jabatan Perikanan Negeri Pahang kini menawarkan untuk membeli ikan patin muncung hidup dengan harga lebih tinggi sebagai induk dalam usaha membiakkan semula spesies itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!