Bukit Aman siasat Lalitha

PDRM mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Lalitha berhubung penulisan artikel berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
PDRM mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Lalitha berhubung penulisan artikel berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap bekas penyelidik di Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam berhubung penulisan artikel berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Lalitha bersama peguamnya, Manjeet Singh Dhillon hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 12 Januari lalu, Azam melalui peguamnya memfailkan tuntutan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan penerbitan artikel di sebuah portal agensi berita, masing-masing pada 26 Oktober dan 15 Disember tahun lalu.

Peguamcara, Megat Abdul Munir dipetik berkata, keputusan mengemukakan saman fitnah dibuat selepas bekas penyelidik C4 itu gagal memberi sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan (LOD) bertarikh 6 Januari lalu.

Azam sebelum ini memaklumkan pihaknya akan mengemukakan saman terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya dan SPRM selain memastikan dakwaan tidak berasas seperti itu tidak berulang.

Pada 5 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya milik adik Azam, iaitu Nasir Baki.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada 19 Januari lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjelaskan, keputusan bahawa tiada pelanggaran syarat di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Azam adalah berdasarkan bukti bebas yang dikumpulkan.

SC turut memaklumkan, bukti berkenaan menunjukkan Azam ialah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!