Individu tipu permohonan bantuan banjir akan diambil tindakan
KLANG - Individu yang didapati menipu dokumen atau mengambil kesempatan bagi mendapatkan bantuan banjir yang ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri bakal berdepan tindakan undang-undang jika kegiatan tersebut dikesan.
Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau berkata, perkara tersebut akan diusulkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dijangka diadakan pada minggu hadapan.
Menurutnya, walaupun tiada tindakan diambil terhadap individu yang mengambil kesempatan menipu semasa memohon bantuan banjir tersebut namun tindakan tersebut wajar dilaksanakan kerana ia akan melambatkan kelewatan agihan bantuan tersebut.
"Setakat ini tiada tindakan diambil berikutan penipuan berhubung permohonan bantuan banjir.
"Kita belum buat MMKN, mungkin perkara ini akan dibangkitkan ketika mesyuarat tersebut pada minggu depan, dari situ baharu kita tahu jika perlu tindakan susulan diambil atau sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ganabatirau meminta agar pemohon berlaku jujur dan mempunyai nilai kemanusiaan ketika membuat permohonan bantuan banjir kerana ketidakjujuran tersebut akan menyusahkan mangsa yang benar-benar memerlukan bantuan berkenaan.
"Setiap rumah mangsa yang dilanda banjir ini ada masalahnya tersendiri seperti ibu tunggal, keluarga dengan anak yang ramai dan sebagainya.
"Saya mohon gunakan nilai kemanusiaan itu untuk menjaga insan ditimpa bencana. Tapi bila ada pihak mengambil kesempatan dan menyebabkan kelewatan agihan bantuan, maka ia menimbulkan kesukaran yang akhirnya sukar dijelaskan kepada mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, sebanyak 73,000 borang permohonan terlah diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang daripada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir setakat 31 Januari lalu.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sekitar 50,551 permohonan yang layak menerima bantuan banjir manakala selebihnya sedang diproses oleh pihak berkenaan.
Beliau berkata, disebabkan terdapat segelintir pihak yang menghantar permohonan bertindih dan cuba mengambil kesempatan dengan menipu permohonan, agihan bantuan menjadi lambat kerana pihaknya perlu mengesan dan mengesahkan dokumen yang dihantar pemohon.
"Kita tidak mampu untuk memproses jumlah permohonan yang banyak, jadi kami meminta bantuan daripada beberapa agensi contohnya Majlis Perbandaran Klang (MPK), Unit Penyelarasan Bencana (ICU), Team Selangor untuk bantu masukkan maklumat pemohon ke dalam pangkalan data.
"Saya mengharapkan kejujuran daripada pemohon kerana bagi saya, kes pemohon yang mengambil kesempatan ini tidak patut terjadi kerana bila ia berlaku, mungkin dia akan mengambil hak orang lain.
"Saya turut dinasihati untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara ini berlaku. Bagaimanapun buat masa ini kita masih belum berbuat demikian. Kita bersedia (ambil tindakan), tapi saya akan merujuk kepada pihak atasan," katanya ketika ditemui di PDT Klang, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!