8 langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana negara: PM
Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang berlangsung pada Khamis.
A
A
A
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan menekankan langkah-langkah dan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.
Katanya, lapan langkah penambahbaikan itu adalah Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR); Penekanan Terhadap Inisiatif DRR; Penyediaan Dana untuk Pengurusan Bencana dan DRR; serta Pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompetensi Stakeholders Pengurusan Bencana.
Selain itu, Penambahbaikan Sistem dan Penyampaian Maklumat dalam Pengurusan Bencana dan DRR; Pemerkasaan Dasar dan Mekanisme Koordinasi Bantuan NGO dan Sukarelawan; Peningkatan Kemahiran dalam Komunikasi Krisis dan Komunikasi Strategik; dan Peningkatan Kapasiti Komuniti Setempat dan Tumpuan Terhadap ‘Localisation’ dalam Pengurusan dan DRR.
"Perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik,” menurut Ismail Sabri dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang bertindak sebagai initial responder atau responden awal dengan mereka dibekalkan kelengkapan asas dan bantuan melaksanakan tindakan awal.
Mesyuarat itu juga secara dasar bersetuju dengan cadangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir antaranya mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor bagi penyimpanan barangan keperluan mangsa banjir.
Cadangan lain termasuk menaiktaraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama; meninggikan benteng dan ban sungai serta parit; membina lebih banyak tebatan banjir; serta membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.
Selain kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik, cadangan lain termasuk mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan.
"Peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, banjir besar yang melanda negara baru-baru ini amat memberi kesan kepada rakyat dan ia bukan isu baharu malah telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kerugian bukan sahaja harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.
Natijah daripada bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian, katanya.
"Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang,” kata Ismail Sabri.
Justeru, beliau menegaskan masalah itu harus diselesaikan secara tuntas dan kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana tersebut menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!