Tian Chua, Ambiga dan Maria Chin sangkal dakwaan sertai PBM

Tian Chua, Ambiga dan Maria Chin
Tian Chua, Ambiga dan Maria Chin
A
A
A

SHAH ALAM - Mengarut dan tidak berasas.

Itu jawapan senada diberikan beberapa individu penting ketika diminta mengulas mengenai desas-desus mengatakan mereka akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak lama lagi.

Antara nama yang disebut adalah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenavasan dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Tian Chua ketika dihubungi menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan ianya sengaja dihebahkan.

"Nonsense (mengarut). Dakwaan ini tidak berasas dan tidak logik.

"Bagi saya, tidak logik untuk sertai PBM sekarang. Saya tidak ikut semasa 'Gerakan Sheraton' dan sehingga sekarang masih memihak kepada Pakatan Harapan (PH)," katanya ringkas.

Sementara itu, Ambiga turut menegaskan desas-desus itu palsu dan tidak berasas sama sekali.

"Saya tidak dapat bayangkan dari mana desas-desus ini timbul. Saya langsung tidak berminat untuk masuk mana-mana parti politik dan sangat terkejut dengan berita ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata, ramai yang menyatakan minat untuk menjadi ahli termasuk dari parti lain.

Menurutnya, ada nama-nama besar yang turut menyatakan hasrat untuk menyertai parti tersebut namun tidak dapat didedahkan ketika ini.

Pada masa ini, Presiden PBM ialah Mohamad Sukri Yusri, manakala Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sebagai Timbalan Presiden.

Beberapa nama seperti Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamarudin turut dikaitkan untuk mengetuai parti tersebut.

Sementara itu ketika Sinar Harian menghubungi Maria, beliau turut menegaskan bahawa dakwaan itu mengarut.

"Tidak betul, saya rasa lebih bagus hentikan sahaja berita palsu seperti ini kerana saya tidak akan sertai mana-mana parti.

"Mereka hendak saya 'react' sahaja, jangan harap berita palsu ini akan berhenti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!