OKT mati selepas tidak sedarkan diri dalam lokap
KLANG - Seorang orang kena tahan (OKT) ditemui tidak sedarkan diri dalam tahanan di lokap Balai Polis Pandamaran di sini awal pagi Khamis.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 35 tahun tersebut ditahan pada Selasa dan direman tiga hari bermula Rabu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Pada 3 Februari jam lebih kurang 6.50 pagi OKT berkenaan telah ditemui tidak sedarkan diri.
"Pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) tiba pada jam 7.30 pagi telah membuat pemeriksaan dan mendapati OKT telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, bagaimanapun punca kematian masih belum dikenal pasti.
Katanya, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman untuk mengenal pasti punca kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!