Rundingan Muda-PH untuk PRN Johor lancar: Syed Saddiq

Syed Saddiq ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Mendengar sempena PRN Johor di Restoran Mizan Satay House, pada Jumaat.
Syed Saddiq ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Mendengar sempena PRN Johor di Restoran Mizan Satay House, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rundingan antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi lancar.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini hubungan antara kedua-dua pihak baik selain tidak mempunyai masalah berbangkit untuk terus bekerjasama.

Bagaimanapun, beliau berkata, perincian lanjut mengenai rundingan itu sama ada benar kerjasama akan dibuat hanya akan diumumkan secara bersama-sama dengan komponen PH.

“Apabila kita sertai pilihan raya, untuk kita membawa pembaharuan yang menyeluruh, penting untuk kita kurangkan musuh dan banyakkan kawan khususnya kawan yang kita percaya bersama-sama ingin membawa politik pembaharuan.

"Proses rundingan sedang berjalan dalam tempoh yang agak baik. Cuma perinciannya lebih baik diumumkan bersekali sebab fokus Muda sekarang ini bukan sekadar rundingan kerusi yang akan ditandingi.

“Sebab itu, kita buat Kempen Jelajah Mendengar dengan menyasarkan kira-kira satu juta orang dalam tempoh dua ketiga minggu supaya dapat merangka dasar yang menyeluruh," katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Mendengar sempena PRN Johor di Al-Mizan Satay House, Jalan Tebrau di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, pada 29 Januari lalu, media melaporkan Syed Saddiq selaku Presiden Muda mengesahkan parti itu akan bertanding pada PRN Johor.

Dalam pada itu, Syed Saddiq memberitahu, pihaknya tidak boleh membuat kenyataan terbuka berkenaan perbincangan tersebut sebelum rundingan berjaya dicapai.

Artikel Berkaitan:

"Berjaya atau gagal, kita tetap akan maklumkan perkara itu. Fokus utama Muda ialah bukanlah sekadar politik percaturan kerusi sebaliknya berkhidmat dahulu kepada rakyat, cadangkan pembaharuan dan jalankan penyelesaian.

"Jika kita ada sokongan rakyat, kawan-kawan parti politik lain pun akan tahu dan akui kedudukan kita. Tak guna rebut kerusi tapi khidmat kepada rakyat terabai," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!