Geng paling berbahaya di New Zealand kutuk Brenton Tarrant
CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND . Geng bermotosikal paling berbahaya di New Zealand, Mongrel Mob mengecam tindakan pengganas kulit putih, Brenton Tarrant yang menyasarkan jemaah masjid di Christchurh pada Jumaat lalu.
Kumpulan samseng itu turut berkumpul di Sekolah Tinggi Hagley semalam untuk memberi bunga dan menawarkan sokongan kepada keluarga yang terjejas dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai itu.
Seorang ahli kumpulan itu, Tanieli Fatu berkata, tindakan Tarrant adalah paling bacul dan tidak menghormati rumah ibadat.
Katanya, apa yang dilakukan Tarrant tidak boleh diterima sama sekali dan jenayah dilakukan warga Australia itu amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
"Komuniti Islam yang sudah dianggap sebahagian daripada kami, tidak layak diperlakukan sedemikian.
"Serangan ganas kelmarin tidak mendatangkan apa-apa manfaat, tidak perlu melakukannya.
Difahamkan, Tarrant berkemungkinan ditahan dalam sel berasingan dengan kawalan keselamatan ketat, tiada bantuan lain boleh mendekatinya dengan mudah.
Namun, sudah ada mata yang memerhatikannya di penjara, kata salah seorang ahli geng tersebut. - Dailystar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!