UMNO perlu sesuaikan diri dengan landskap politik baharu

Shahril Suffian
Shahril Suffian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, tidak boleh terus selesa sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan landskap politik baharu susulan kemunculan pelbagai parti ketika ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan berkata, kehadiran parti politik baharu seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak boleh dipandang ringan sebaliknya UMNO perlu mencari strategi yang sesuai bagi memastikan ia terus kekal relevan dalam kalangan generasi muda.

"Memang kita mengiktiraf dan mengambil serius, tidak boleh pandang enteng dengan parti lain kerana ada tarikan daripada mereka termasuk MUDA... UMNO kena sesuaikan dengan landskap baharu ini.

"Ada pihak beranggapan parti baharu tiada akar umbi dan tiada ahli pusat tetapi dalam politik baharu ini, parti yang tiada ahli ramai pun atau tiada rangkaian hebat pun mempunyai kelompok undi yang kita tak boleh pandang ringan,” katanya kepada pemberita pada Jumaat ketika sesi santai bersama pengamal media yang akan bertugas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditanya mengenai strategi UMNO dalam berdepan saingan terutama parti baharu termasuk MUDA pada PRN Johor.

Pada 29 Januari lalu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding pada PRN Johor.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pemilih berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18 sekali gus menjadi cabaran kepada parti yang bertanding.

Mengulas persiapan Penerangan UMNO Pusat dalam mendepani PRN Johor, Shahril Suffian berkata, pihaknya akan melihat garis panduan berkempen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel Berkaitan:

"Macam di Melaka, kita sudah pelajari sesuatu dan untuk PRN kali ini, situasinya sedikit berbeza. Sudah tentu kita akan fokuskan kepada penerangan mengenai isu semasa dan bagaimana memenangi semula pengundi atas pagar.

"Kita juga akan tunggu prosedur operasi standard oleh Kementerian Kesihatan... di Melaka agak ketat, cuma kalau boleh memang kita mahu ada kelonggaran (berkempen) untuk (PRN) kali ini di Johor,” katanya.

SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!